
Laporan/foto: Nor Juliana Jamri (Hulu Langat)
BANGI, 10 Sep (Malaysiaaktif) – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kenaikan Elaun Sara Hidup (ESH) pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam dan luar negara berkuatkuasa bulan ini atas faktor peningkatan kos dan inflasi serta keperluan pelajar.
Kadar ESH pelajar dalam negara dinaikkan minimum RM650 sehingga maksimum RM950 sebulan bagi bidang pengajian bermula daripada peringkat Diploma sehingga Doktor Falsafah dan profesional.
Sementara ESH luar negara dinaikkan kepada kadar minimum RM1,380 sebulan sehingga maksimum RM7,600 sebulan bermula daripada peringkat pengajian Ijazah Sarjana Muda sehingga peringkat Doktor Falsafah dan peringkat profesional.
“Kenaikan ESH kepada pelajar tajaan MARA ini bakal melibatkan seramai 62,998 orang,” katanya ketika berucap pada Program Aspirasi Kecemerlangan Keluarga Malaysia di Dewan Feisol Hassan Helle, German-Malaysian Institute (GMI), di sini pagi tadi.
Sementara itu Ismail Sabri berkata, sehingga hari ini seramai 1.35 juta pelajar Melayu dan bumiputera telah mendapat manfaat daripada penubuhan Mara sejak 56 tahun lalu.
Sepanjang penubuhannya MARA telah membuktikan peranan penting terhadap pembangunan sosio-ekonomi negara dengan lebih daripada empat juta bumiputera telah diperkasa melalui keusahawanan, pendidikan dan pelaburan berimpak tinggi.
Turut hadir Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid bersama-sama lebih 3,000 orang pelajar tajaan MARA dan juga pelajar yang berada di luar negara yang mengikuti program secara dalam talian.
-ZS-