
Laporan/foto: Siti Noor Asmani Che Mat Saleh (Tumpat)
TUMPAT, 30 Sep (Malaysiaaktif) – Kerajaan negeri Kelantan komited membantu meringankan beban golongan asnaf bagi membolehkan keluarga mereka hidup dengan lebih selesa dan terjamin.
Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata demikian ketika majlis penyerahan kunci Program Rumah Dhuafa’ di Kampung Kutan Tengah, di sini baru-baru ini.
“Setiap unit rumah membabitkan kos RM55,000 dilengkapi tiga bilik tidur, ruang tamu, bilik air dan dapur dibina atas tanah hak milik sendiri penerima.
“Lebih RM10 juta diperuntukan bagi pembinaan 105 unit rumah baru dan 412 unit rumah bagi tujuan baik pulih untuk golongan asnaf di seluruh Kelantan,” katanya.
Menurut salah seorang penerima rumah tersebut ketika ditemui, Nor Marina Ahmad, 43, beliau merasa amat teruja kerana impian memiliki rumah telah tercapai.
“Gembira sangat sebab suami saya hanya bekerja kampung dan jika bukan disebabkan bantuan ini belum tentu kami dapat memiliki rumah sendiri,” katanya.
-ZS-