
Laporan/foto: Zaidy Salim/Rahman Ishak (Putrajaya)
MELAKA, 16 Sep (Malaysiaaktif) – Kemeriahan Malaysia yang ditonjolkan dengan penuh warna-warni dalam sambutan Hari Malaysia di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, di sini malam ini turut memikat pelancong hadir menyertainya.
Pelancong dari Amsterdam, Belanda, Luuk Stork Horst, 35, menyifatkan pengalaman pertamanya menyaksikan sambutan Hari Malaysia di sini amat mengujakan dan penuh warna-warni.
“Kami dapat tahu mengenai acara ini setelah melihat kain rentang di tepi jalan semalam. Saya bertuah dapat menyaksikan sambutan ini kerana sebelum ini mereka telah terlepas untuk menyaksikan sambutan Hari Kemerdekaan di Kuala Lumpur”.
“Malaysia adalah negara yang sangat cantik dan rakyatnya peramah, malah ia berbeza berbanding negara lain di dunia,” katanya kepada Malaysia Aktif ketika ditemui semasa sambutan Hari Malaysia.
Luuk berkata, ini merupakan kali pertama beliau ke Malaysia dan sangat gembira berada di sini kerana gemarkan makanan gerai tepi jalan, pantai dan alam semulajadi serta rakyatnya yang sangat pemurah dan dia bercadang untuk mengunjungi negara ini lagi pada masa hadapan.
Seorang lagi rakannya yang dikenali sebagai Leonie Pape, 31, berkata ia adalah pengalaman pertamanya menyaksikan sambutan Hari Malaysia yang penuh warni-warni dan menonjolkan pelbagai etnik dengan pakaian tradisional yang tidak dapat dilihat di negaranya.
“Ini kali pertama saya melihat pelbagai pakaian etnik tradisional yang begitu banyak dalam hidup saya. Saya dapat lihat rakyat negara ini begitu bangga menggayakan pakaian mereka dan suasananya sangat positif,” katanya.
-ZS-