
Laporan/foto: Saberiya Patiroi/UMS
KOTA KINABALU, 3 Okt (Malaysiaaktif) – Keterujaan dan kegembiraan jelas terpancar di wajah 35 orang peserta Perkhemahan Sukan Rekreasi Kanak-Kanak 2022 (‘Summer Camp’) Universiti Malaysia Sabah yang memberikan pengalaman baharu buat mereka.
Perkhemahan yang berlangsung selama tiga hari bermula 30 September di Pusat Pembangunan Luar (ODEC), menyediakan pelbagai aktiviti rekreasi dan sukan tradisional yang kian dilupakan oleh generasi muda.
Menurut Nur Aliya Sulkiflizan, 10, pengisian sepanjang program adalah sangat menyeronokkan seperti kelas memanah, asas pertolongan cemas, sukan tradisional, malam kebudayaan, kuliah agama dan kerohanian dengan berlatar belakang pantai ODEC yang indah.
“Saya mengetahui program ini daripada kawan dan terus memujuk ibu untuk mendaftar nama kerana penyertaan adalah terhad.
“Saya berharap program ini dapat diadakan pada masa akan datang kerana ia dapat memupuk semangat setia kawan dalam pasukan serta belajar berdikari tanpa bantuan ibu bapa.
“Aktiviti memasang khemah, membuat kerja berpasukan dan pengalaman mandi beramai-ramai adalah kenangan manis dan sangat berharga yang tidak akan saya lupakan,” ujarnya ketika ditemui di ODEC, pada Ahad.
-ZS-