
Laporan/foto: Rahman Ishak/KKMM
PUTRAJAYA, 15 Nov (Malaysiaaktif) – Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) hari ini telah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Integriti Tahun 2022 sebagai manifestasi untuk memperkasa dan membudayakan nilai-nilai integriti dalam kalangan warga kerjanya.
Ketua Setiausaha Datuk Seri Mohammad Mentek dalam ucapan perasmiannya di Dewan B1, Kompleks K-KOMM di sini berkata kejayaan 10 jabatan dan agensi di bawahnya mewujudkan Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) di peringkat Kementerian dan agensi adalah bukti komitmen serta kesungguhan K-KOMM terhadap perkara-perkara berkaitan integriti dan rasuah.
“Jumlah aduan yang melibatkan isu-isu integriti di Kementerian ini telah berkurang kepada hanya 20 aduan (setakat Oktober 2022), berbanding 28 kes aduan pada tahun 2021 dan 31 aduan pada tahun 2020.
“Ketua Bahagian, Jabatan dan Agensi perlu sentiasa memastikan tidak berlakunya isu-isu melibatkan integriti dalam kalangan warga K-KOMM,” katanya.
Menurut Mohammad lagi semakan berkala terhadap pekeliling atau prosedur juga perlu dibuat bagi memastikan tidak berlaku ketirisan atau penyelewengan, dalam usaha memberikan perkhidmatan yang cekap dan efisyen kepada masyarakat dan rakyat.
“Agenda integriti ini sebenarnya perlu dihayati dan dilaksanakan oleh semua pihak tanpa mengira umur, pangkat dan jawatan yang disandang.
“Pada kesempatan ini, saya mengambil peluang untuk sama-sama mengingatkan kita semua supaya sentiasa menjadikan integriti sebagai asas dan pegangan dalam apa jua perkara yang kita lakukan,” katanya.
Turut hadir Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Datuk Razim Mohd Noor dan Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik & Industri Kreatif) K-KOMM Puan Mastura Ahmad Mustafa.
-ZS-