Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Ramlen Salleh (Labuan)
LABUAN, 16 Jan (Malaysiaaktif) – Lebih 20 spesies burung air berjaya direkodkan di Pulau Labuan dalam program Asian Waterbird Census (AWC) 2023 yang diselaraskan oleh Labuan Avian Group bersama Malaysian Nature Society Cawangan Sabah.
Menurut penyelaras program yang juga pengasas Labuan Avian Group Noralip Hassanuddin, 48, pemantuan dibuat di Pantai Kampung Nagalang dan Pantai Kampung Sungai Labu yang melibatkan seramai tujuh orang sukarelawan terdiri daripada peminat mengkaji burung di Labuan.
“Program ini merupakan suatu kegiatan tahunan yang bersifat sukarela, diadakan pada minggu kedua dan ketiga dalam bulan Januari setiap tahun.
“Di samping memantau dan mengumpul data populasi burung air di seluruh negara Asia, kegiatan ini juga bertujuan untuk menarik minat masyarakat setempat mengetahui tentang habitat burung air yang agak unik dan menarik.
“Kali terakhir Labuan Avian Group menyertai AWC adalah pada tahun 2018 yang terhenti akibat pandemik COVID-19 dan pada pertengahan 2021 Labuan Avian Group kembali aktif dalam merekod serta merakamkan gambar spesies burung di sekitar Pulau Labuan,” kata beliau ketika ditemui di pantai Kampung Sungai Labu, semalam.
Jelasnya lagi, antara spesies yang berjaya direkodkan adalah ‘comman tren’, ‘comman sandpiper’, ‘Malaysia plover’, ‘kentish plover’, ‘greater sand plover’, ‘ruddy turnstone’, ‘sanderling’ dan beberapa spesies lain.
-ZS-