
Laporan/foto: Ahmad Noramin Idris/Mohd Helmi Ibrahim (Perak Tengah)
KAMPUNG GAJAH, 5 Jan (Malaysiaaktif) – Negeri Perak sangat sinonim dengan seni pembuatan pasu, tembikar dan labu sayong. Ramai yang tidak tahu, selain Kuala Kangsar, produk berasaskan tanah liat ini turut dihasilkan di Kampung Tanjung Bidara, di sini.
Menurut pengusaha KNZ Kraf Enterprise, Norshima Abdul Aziz, 49, keunikan produk yang dihasilkannya mempunyai kelainan tersendiri pada kesenian bunga tampal dan kehalusan seni pembuatannya.
“Identiti unik pasu dan labu di sini terserlah melalui ukiran bunga tampal hasil kerja tangan yang teliti. Selain itu, permukaan labu dan pasu buatannya lebih licin dan tidak kasar berbanding labu dan pasu yang ada di pasaran luar,” katanya ketika ditemui di kedainya baru-baru ini.
Tanah yang digunakan untuk pembuatan labu dan pasu keluarannya juga adalah lebih istimewa kerana menggunakan campuran tanah busut anai-anai yang hanya terdapat di kampung tersebut.
“Saya telah mencuba pelbagai jenis tanah busut di seluruh daerah ini, namun hanya tanah busut di sekitar Kampung Tanjung Bidara sahaja yang paling sesuai digunakan,” tambahnya.
Antara produk yang dihasilkan oleh KNZ Kraf Enterprise termasuk labu dan pasu bunga tampal, labu hiasan berbingkai kaca, labu air, labu air berpaip, periuk tanah dan pasu cenderahati.
Selain menerima tempahan, pihaknya turut bersedia mengadakan demonstrasi pembuatan labu dan pasu khas buat pengunjung yang datang. Menariknya lagi, pengunjung sendiri berpeluang untuk membuat dan mewarnakan hasil tangan mereka mengikut kreativiti masing-masing.
-ZS-