
Laporan/foto: Norfaizah Adnan/Muhamad Hafizuddin Abdul Halim (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 23 Feb (Malaysiaaktif) – 680 cawangan KK Super Mart di seluruh negara memulakan jualan RAHMAH yang melibatkan barangan makanan sedia dimakan dan barangan basah hasil laut secara sejuk-beku.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayub ketika ditemui semasa Majlis Pelancaran Inisiatif RAHMAH di KK Super Mart Terminal Bersepadu Selatan, Bandar Tasik Selatan menyatakan beliau sangat mengalu-alukan usaha pihak KK Super Mart.
“Saya sangat mengalu-alukan usaha ini dan pihak KK Super Mart yang diketuai oleh Datuk Seri Dr. KK Chai telah memaklumkan bahawa jualan barangan RAHMAH ini boleh didapati di 680 cawangan di seluruh negara.
“Setelah hampir sebulan KPDN melancarkan inisiatif Payung RAHMAH ini, nampaknya pemain-pemain industri semacam berlumba-lumba untuk bersama menjayakan Inisiatif Payung RAHMAH,” ujAR Menteri KPDN itu.
Beliau turut memaklumkan pihak KPDN akan mengadakan sesi libat urus untuk Bazar Ramadan RAHMAH menjelang bulan Ramadan tahun ini.
“Perbincangan dengan pihak industri dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang diadakan dan pengumuman akan dibuat dalam tempoh masa terdekat,” katanya.
Terdahulu, pihak KK Super Mart telah memberikan 100 pek makanan sejuk-beku percuma kepada 100 pelanggan sempena pelancaran Payung RAHMAH di pasaraya itu.
-ZS-