
Laporan/foto: Mohd Zulfadli Ab. Hamid (Kuala Krai)
KUALA KRAI, 21 Feb (Malaysiaaktif) – Lata Papan, Kampung Bechah Salak yang terletak 12km dari Bandar Kuala Krai atau kira-kira 15 minit perjalanan menjadi tarikan terbaru di daerah ini.
Pemandangannya yang cantik dan bersih mampu menarik ramai pengunjung termasuk dari luar daerah tersebut.
Seorang pengunjung, Che Roshaida Ibrahim, 35, ketika ditemui di sini berkata Lata Papan ini perlu dinaik taraf untuk menarik lebih ramai pengunjung.
“Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah membina tandas, bilik persalinan, laluan yang sempurna bagi kemudahan dan keselesaan pengunjung,” ujarnya.
Menurutnya ini adalah kali pertama beliau datang ke sini bersama ahli keluarga bagi mengisi musim cuti persekolahan.
“Tangga dan laluan ke kawasan ini yang agak licin perlu ditambah baik demi keselamatan pengunjung terutama golongan warga emas dan kanak-kanak,” ujar Roshaida.
Nik Azmi Raja Daud, 44, pengunjung dari Kota Bharu berkata penyediaan tong sampah amat perlu agar sampah tidak dibuang merata-rata dan mencacatkan pemandangan.
“Pemandangan di sini sangat cantik dan sesuai bagi anak-anak mandi-manda kerana airnya cetek, jernih serta tidak terlalu curam.
“Pihak bertanggungjawab perlu membina fasiliti secukupnya bagi menarik lebih ramai pengunjung dalam dan luar daerah ini.
“Khazanah ini perlu sama-sama dijaga untuk masa depan generasi akan datang,” katanya.
-ZS-