
Laporan/foto: Khairunnisa Ismail (Kota Bharu)
KOTA BHARU, 11 Feb, (Malaysiaaktif) – Pasar terapung di Pulau Tengah, di sini telah memulakan operasinya semalam.
Sebanyak 20 bot dan modal awal tajaan Syarikat Abam Peah Holding Sdn Bhd disediakan sebagai permulaan perniagaan yang diadakan di atas bot.
“Idea jualan dibuat seakan-akan pasar terapung di Hatyai ini merangkumi pelbagai aneka makanan negeri Kelantan dan juga kuih-muih tradisional,” kata pemilik Abam Peah Holding Sdn Bhd, Azli Mohd Noor , 40, yang juga antara penganjur pasar ini, ketika ditemui di sini semalam.
“Lokasi strategik dan semangat kerjasama penduduk kampung telah menyuntik keinginan saya untuk membantu peniaga kecil menjana pendapatan mereka.
“Pasar terapung ini akan dibuka pada hujung minggu melibatkan sesi pagi dan petang. Sesi pagi bermula pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari, manakala sesi petang bermula pukul 4 hingga 7 petang,” katanya.
Seorang penjual kerepek, Wan Noor Noraini, 43, berkata perasaan takut tidak menghalangnya untuk berniaga.
“Saya begitu teruja kerana buat pertama kalinya berniaga di atas bot,” katanya.
Persembahan dikir barat di atas air, pertunjukan luncur jet dan juga makanan percuma buat 100 orang pelangga terawal turut memeriahkan pembukaan Pasar Terapung Pulau Tengah.
-ZS-