Laporan/foto: Nur Shahrina Amran
TANGKAK, 11 Feb (Malaysiaaktif) – Seramai 100 orang pelajar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Serom telah menerima sumbangan persekolahan bersempena Program ‘Back To School’ anjuran Pejabat Parlimen Ledang dengan kerjasama Persatuan IKRAM Ledang dan Syarikat Ten Ten, pada Khamis.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh dan melibatkan pelajar di beberapa buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Belemang, Sekolah Menengah Kebangsaan Persiaran Perdana, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hwa serta beberapa sekolah lagi.
Menurut Syed Ibrahim, walaupun tahun ini kerajaan memberikan RM150 kepada semua pelajar, namun beliau maklum akan kekurangan yang perlu ditampung oleh keluarga yang mempunyai ramai anak tanpa menafikan hak setiap anak untuk belajar.
“Pendidikan adalah sesuatu yang amat penting bagi memastikan setiap rakyat dapat menjalani kehidupan yang lebih baik di masa hadapan.
“Dengan bantuan ini, diharapkan anak-anak akan rasa seronok untuk mencari ilmu, belajar dengan lebih baik dan akhirnya akan dapat kejayaan yang mampu membantu menaikkan taraf kehidupan keluarga malah seterusnya mampu menbantu kembali mereka yang kesusahan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan pada masa akan datang program seperti ini akan diadakan di DUN Tangkak dan DUN Bukit Gambir.
“Saya berharap kerjasama seperti ini akan dapat diteruskan kerana manfaat kepada rakyat Ledang,” katanyq.
Sumbangan berbentuk baucar bernilai RM150 turut diberikan oleh pihak Ten Ten.
Turut hadir Yang Dipertua Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Kawasan Tangkak Zainuddin dan Pengurus Besar Ten Ten Malaysia Lai Beng Swe.
-ZS-