
Laporan/foto: Syed Mohd Adib Syed Hassan (Segamat)
SEGAMAT, 8 Mac (Malaysiaaktif) – Majlis Perbandaran Segamat (MPS) berharap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi luar untuk bersama-sama membantu membersihkan longgokan sampah banjir di kawasan terlibat di Segamat.
“Pihak kami mengharapkan ada NGO atau agensi luar yang boleh bersama-sama berganding bahu membersihkan longgokan sampah di hadapan rumah kediaman dan premis perniagaan kerana jika ada pihak luar datang membantu sama, insya-Allah kerja-kerja pembersihan pasca banjir akan selesai sebelum bulan puasa nanti.
“MPS telah mengarahkan agensi dibawahnya iaitu Jabatan Kesihatan Awam, Jabatan Perancang Bandar dan Lanskap serta SWM Environment Segamat melakukan kerja-kerja pembersihan pasca banjir di tempat yang terdapat longgokan sampah,” kata Yang Dipertua Majlis Perbandaran Segamat Yang Mulia Ungku Mohd Tahir Ungku Mohd Zakaria.
Menurut Ungku Mohd Tahir kerja-kerja pembersihan sudah mula digerakkan selepas banjir surut di kawasan bandar dan taman-taman berdekatan.
“Jika dilihat pada hari ini kerja-kerja pembersihan masih dilakukan di Kampung Jawa, Taman Utama, Taman Tasik dan Taman Mida,” katanya ketika ditemui, di sini semalam.
Guru Tadika Perpaduan Kampung Jawa, Nur Hafisa Farhana Mohd Yusof, 25, yang ditemui turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada petugas-petugas MPS yang sudi hadir beramai-ramai bagi mengemas dan membersihkan sekolah yang ditenggelami banjir pada 1 Mac lalu.
Salah seorang petugas MPS Mohd Firdaus Omar, 35, berkata beliau sanggup bertungkus lumus agar sekolah yang terjejas akibat banjt dapat dibersihkan supaya murid akan berasa selesa untuk belajar apabila sesi persekolahan dimulakan nanti.
-ZS-