
Laporan/foto: Halimah Abdul Ghani/Ariza Mohamed Zaki
PERAI, 6 Mac (Malaysiaaktif) – Denggi merupakan ancaman yang sangat berbahaya kepada masyarakat dan boleh membawa maut. Pelbagai usaha yang dilaksanakan bagi memastikan penularan kes denggi dikekang perlu mendapat penglibatan semua lapisan masyarakat sebagai kunci utama bagi memastikan usaha-usaha ini berjaya.
Sehubungan itu Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Taman Chai Leng di sini pada Sabtu lalu telah mengambil inisiatif menganjurkan Program Anti Denggi 2023 di Dewan Serbaguna Taman Chai Leng ekoran berlakunya peningkatan kes wabak denggi di Daerah Seberang Perai Tengah.
Menurut Pengerusi MPKK Taman Chai Leng, Tan Hock Chai program bertujuan memberi pendedahan kepada orang ramai betapa pentingnya langkah yang perlu diambil bagi mencegah nyamuk aedes daripada membiak.
“Mencegah adalah lebih baik dari merawat,” ujarnya ketika ditemui.
Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Prof. Dr. P. Ramasamy dalam ucapannya berharap agar semua MPKK di kawasan Dewan Undangan Negeri Prai turut melaksanakan program sebegini bagi memastikan penduduk sentiasa peka dan berjaga-jaga terutamanya di persekitaran kawasan masing-masing.
Program diisi dengan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan setempat, pertandingan mewarna kanak-kanak, Taklimat Pencegahan Denggi oleh Pegawai Kesihatan serta edaran risalah berkaitan denggi oleh Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah.
Turut hadir Ahli Majlis Majlis Bandaraya Seberang Perai David Marshel.
-ZS-