
Laporan/foto: Rajeswari Anbazagan (Lembah Pantai)
KUALA LUMPUR, 17 Apr (Malaysiaaktif) – “Makanan yang ada perlu dimanfaatkan agar tidak berlaku pembaziran sehingga dihantar ke pusat-pusat pelupusan sampah,” kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil yang turut terkesan dengan isu pembaziran makanan di bazar Ramadan.
Setiap hari sebanyak 54,000 kilogram makanan dibazirkan oleh penjual dan pembeli bazar Ramadan.
Menurut Fahmi, kerajaan sedang mengkaji dan mengadakan perbincangan bersama The Lost Food Project, SWCorp dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain bagi menangani isu pembaziran makanan pada bulan Ramadan yang semakin kritikal ini.
“Apabila makanan yang tak dimakan itu diselamatkan dan diberi kepada keluarga yang memerlukan atau pun komuniti yang dapat menikmatinya, bagi saya ia satu kesan yang sangat positif,” ujar Fahmi Fadzil yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai ketika berucap merasmikan Program Setulus Ikhlas Bersama di Pantai Ecopark, Sabtu lalu.
Dalam pada itu, Fahmi turut menyampaikan bakul makanan kepada penduduk yang memerlukan di Lembah Pantai.
Bakul makanan sumbangan Yayasan Sime Darby itu bernilai RM100 yang mengandungi barangan keperluan seperti beras, minyak masak, sardin, gula dan santan.
Sebanyak 1,500 bakul makanan diedarkan secara berperingkat bagi meringankan serba sedikit beban kos menjelang sambutan Aidilfitri.
-ZS-