Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/KPDN Selangor
SUNGAI BULOH, 16 Apr (Malaysiaaktif) – Sebanyak 53,980 premis telah diperiksa di seluruh negara menerusi Ops Pantau 2023 yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bermula 23 Mac lalu dengan nilai kompaun berjumlah RM51,700.
Ketua Pengarah Penguat KPDN Datuk Azman Adam, berkata operasi secara seragam dan berfokus sehingga 21 April ini di lokasi tumpuan seperti bazar Ramadan serta Aidilfitri, pasar awam, pasar basah, pasar raya, kedai runcit dan aktiviti penjualan secara dalam talian termasuk di Hentian Rawat & Rehat (R&R).
“Fokus pemantauan antaranya berkaitan bekalan barang, harga barang, jualan murah, alat timbangan, penjualan barang tiruan, isu halal dan penjualan barang-barang keperluan sempena Aidilfitri.
“Peniaga ditekankan agar terus mematuhi segala perundangan yang telah ditetapkan oleh kerajaan terutamanya sepanjang bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri bagi mengelakkan dikenakan tindakan tegas,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas mengetuai Ops Pantau 2023 di Hentian R&R Sungai Buloh, semalam.
Mengulas lanjut, Azman berkata pemeriksaan secara terperinci dan bersasar ke atas harga makanan sedia masak dan penggunaan alat timbangan di premis-premis yang beroperasi di dalam Hentian Rehat & Rawat tersebut di bawah penguatkuasaan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan Akta Timbang Sukat.
“Hasil operasi mendapati peniaga meletakkan tanda harga makanan dan minuman pada setiap buku menu dan mempamerkan papan tanda yang mudah dilihat oleh pelanggan,” jelas beliau.
-ZS-