
Laporan/foto: Wan Seman Wan Bedollah/Azmi Abd. Rahman (Machang)
MACHANG, 11 Apr (Malaysiaaktif) – Penubuhan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) adalah untuk membangunkan sektor luar bandar dengan membantu penduduk-penduduknya menyertai aktiviti-aktiviti ekonomi.
Sejak kewujudan FELCRA pada tahun 1966, ia dipertanggungjawab untuk memajukan kawasan luar bandar dengan membuka peluang kepada masyarakat luar bandar menyertai aktiviti ekonomi bagi menjana pendapatan.
Timbalan Perdana Menteri (TPM) Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi, berkata fungsi FELCRA bukan sahaja dapat meningkatkan taraf hidup dan nilai kehidupan penduduk luar bandar tetapi ia menjamin kemajuan rakyat negeri Kelantan.
“FELCRA agen penting tranformasi pembangunan luar bandar.
“FELCRA bukan sahaja memajukan tanah mahupun ladang, malah turut membangunkan struktur kehidupan sosioekonomi peserta ke tahap lebih sempurna,” katanya pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Pusat Transformasi Ilmu, Bukit Tiu, di sini kelmarin.
Pada majlis yang sama, Zahid turut menyampaikan sumbangan kepada Masjid Ar Razaq, Bukit Tiu, Machang, Geran Projek Rakan Kebun, sumbangan kepada Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG), duit raya (pelajar tahfiz) dan duit zakat asnaf kepada penduduk Parlimen Machang.
Majlis berbuka puasa juga diadakan bersama jabatan dan agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), pihak media, agensi kerajaan persekutuan dan Negeri, ketua-ketua jabatan, pelajar tahfiz serta penduduk setempat.
Turut hadir Pengerusi FELCRA Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Menteri Luar Senator Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Datuk Seri Noraini Ahmad dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
-ZS-