
Laporan/foto: Nur Afikah Rusly (Larut Matang dan Selama)
TAIPING, 5 Apr (Malaysiaaktif) – Program Iftar Komuniti anjuran Pejabat Orang Besar Jajahan Larut Matang dan Selama mengeratkan jalinan ukhwah sesama penduduk setempat selain melakukan amal kebajikan pada bulan Ramadan.
Menurut Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Mewah Fasa 1 Rodzali Zainol, program ini melibatkan aktiviti memasak bubur lambuk secara bergotong-royong.
“Kerja-kerja memasak, membungkus dan mengagih 2,000 pek bubur lambuk dilakukan secara gotong-royong oleh Ahli Jawatankuasa Persatuan Kebajikan Prihatin Sosial Negeri Perak bermula seawal pukul 9.00 pagi.
“Bubur lambuk ini seterusnya akan diagihkan kepada orang ramai yang hadir pada majlis berbuka puasa secara terbuka di sini pada petang ini,” katanya ketika ditemui di Dataran Warisan, Jalan Taming Sari, pagi tadi.
Program ini juga turut melibatkan kerjasama daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan badan bukan kerajaan sekitar Taiping.
-ZS-