
Laporan/foto: Mohd Shaharudin Suratman (Seremban)/Norfazila Ahmad (Politeknik Port Dickson)
SEREMBAN, 14 Apr (Malaysiaaktif) – Pelajar semester empat Agroteknologi dan Bio-Industri Politeknik Nilai, Anis Nur Aishah Adzahar telah merangkul Johan Qariah dalam Pertandingan Tilawah Al-Quran POLYCC Peringkat Kebangsaan 2023.
“Sangat gembira kerana pertama kali menjadi johan walaupun sering menyertai pertandingan tilawah di peringkat sekolah dan negeri.
“Saya harap dapat terus belajar untuk memantapkan bacaan serta mahir dalam bidang taranum,” katanya.
Majlis penutup pertandingan yang berlangsung secara maya selama lapan hari antara 24 Februari sehingga 31 Mac itu telah diadakan di Kolej Komuniti Beaufort, Sabah pada 12 April lalu.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Governan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Kamaluddin Daud yang merasmikan majlis tersebut pertandingan tilawah al-Quran seperti ini akan diteruskan pada masa akan datang bagi mengetengahkan bakat-bakat pelajar khususnya berkaitan taranum al-Quran.
“Ianya memupuk minat pelajar-pelajar TVET mencintai dan menguasai ilmu-ilmu al-Quran seiring dengan ilmu-ilmu lain.
“Tahniah dan syabas kepada semua pemenang dan semua peserta yang telah berjaya ke peringkat akhir,” katanya.
-ZS-