
Laporan/foto: Muhammad Naim/Siti Zuraida (Jempol)
JEMPOL, 8 Apr (Malaysiaaktif) – Seramai 15 orang anak-anak asnaf yang juga Klien Agensi Antidadah (AADK) Jempol yang berumur tiga hingga 17 tahun menerima sumbangan keperluan hari raya, di sebuah pusat membeli-belah, di sini semalam.
Menurut Pegawai Daerah yang juga Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah (PEMADAM) Jempol Nawal Mohammed Amin aktiviti ini merupakan acara tahunan persatuan.
“Sebanyak RM3,000 disalurkan melalui PEMADAM dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Usahanita Jempol dikumpulkan bagi menyantuni anak-anak ini.
“Setiap anak-anak akan menerima RM200 untuk membeli pakaian hari raya.
Sementara itu Pengerusi Usahanita Daerah Jempol Norlida Abdul Kudus berkata ini merupakan kali pertama pihaknya menyantuni anak-anak Klien AADK.
“Biasanya kita lebih menghulurkan bantuan kepada anak-anak yatim namun masih ada pihak lain yang tidak harus kita lupakan.
“Jadi kami bersedia untuk bekerjasama pada masa akan datang,” katanya.
Ahmad Awal Ramadhoni, 15, salah seorang penerima mengucapkan terima kasih pihak yang terlibat memberi sumbangan kerana dapat meringankan beban keluarganya untuk membeli barang keperluan hari raya.
-ZS-