
Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal
JOHOR BAHRU, 2 Apr (Malaysiaaktif) – Seramai 80 orang belia yang terdiri daripada penghuni di enam blok PPR Kempas Permai telah menyertai Pertandingan Memasak Bubur Lambuk Belia PPR Kempas Permai, semalam.
Ketua Kampung Kempas Permatang, Airizam Bollah, berkata sebanyak 10 periuk bubur lambuk telah disediakan oleh peserta yang mewakili setiap blok masing-masing bagi memasakan bubur lambuk mengikut kreativiti dan resepi masing-masing.
“Selepas selesai memasak bubur lambuk dan penjurian pemenang dibuat, bubur lambuk berkenaan akan dibungkus dan diedarkan kepada setiap penduduk blok PPR Kempas Permai dan juga di masjid yang berdekatan.
“Tujuan program ini dilaksanakan adalah untuk mengeratkan hubungan ukhwah silaturahim antara sesama komuniti agar kekal dan makmur sepanjang masa serta menjadi pelapis kepada generasi baru akan datang.
“Ribuan terima kasih juga kepada semua penaja dan penyumbang dalam program ini,” katanya.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas Ramlee Bohani, Ahli Majlis MBJB Zon Tampoi Nor Akmal Muhammad, Ahli Majlis MBJB Zon Kempas Suhaimi Ahmad, agensi kerajaan dan swasta serta penduduk setempat.
-ZS-