
Laporan/foto: Lizza Imelia M. Sulanah (LMS)/Majlis Perbandaran Taiping
KAMUNTING, 6 Apr (Malaysiaaktif) – Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menanam pokok kayu manis sebagai simbolik Perasmian Masjid Jamek Taman Yayasan, di sini pada Selasa.
Menurut Pegawai Pertanian Larut Matang dan Selama (LMS) Zuriana Ahmad, pihak jabatan memilih pokok kayu manis atau Cinnamomum verum kerana pokok ini mempunyai ciri yang isitimewa.
“Pokok ini bersifat rendang atau rimbun, boleh dijadikan tempat teduhan qariah masjid dan mempunyai jangka hayat yang panjang,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, Pengerusi Masjid Jamek Taman Yayasan Abdul Hamid Saad teruja kerana kesudian Sultan Nazrin mencemar duli merasmikan masjid ini seterusnya berbuka puasa bersama masyarakat setempat.
“Tuanku turut berkenan meluangkan masa untuk menunaikan solat Isyak dan Terawih bersama qariah masjid dan jemputan serta berkesempatan merakam gambar kenangan bersama kami khususnya Jawatankuasa Tertinggi Masjid ini,” ujarnya.
Majlis Perasmian Masjid Jamek Taman Yayasan dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Sultan Perak ini adalah anjuran Pejabat Daerah dan Tanah Daerah LMS dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak dan Pejabat Agama Islam Daerah LMS.
-ZS-