
Laporan/foto: Muhammad Fandy Azam/Nurfariza Farnoh (Melaka Tengah)
MELAKA, 6 Apr (Malaysiaaktif) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput Datuk Rais Yasin yang dilantik sebagai Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana mendahului Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli Mesyuarat Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka (MMKNM) di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam di Balai Istiadat Seri Negeri, di sini semalam.
Selaras dengan konsep Kerajaan Perpaduan, ADUN Kesidang Seah Shoo Chin daripada Pakatan Harapan telah dilantik memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna.
Turut mengangkat sumpah Datuk Abdul Razak Abdul Rahman sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya, Dr. Muhamad Akmal Saleh sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan, dan Fairul Nizam Roslan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital.
Datuk Kalsom Nordin turut dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, VP. Shanmugam Pitchay sebagai Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO serta Ngwe Hee Sem sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan
Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan dan Datuk Rahmad Mariman sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh turut mengangkat sumpah sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan, Hal Ehwal Tanah, Agensi Bukan Kerajaan, Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET.
-ZS-