
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/BES Labuan
LABUAN, 9 Apr (Malaysiaaktif) – Sebanyak 2,000 pek bubur lambuk diagihkan secara pandu lalu kepada masyarakat Labuan bersempena Nuzul al-Quran menerusi penganjuran Program Sinergi LABUANfm di perkarangan letak kereta Masjid Jamek Layang-Layangan, petang semalam.
Menurut Penerbit Rancangan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Labuan Mohd Rendy Ricky, program yang bertemakan ‘Berkat Ramadan’ itu mendapat kerjasama daripada Jawatankuasa Masjid Jamek Layang-Layangan, Kelab Belia Anak Layangan (KEBAL), serta Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMS-KAL).
“Bahan-bahan masakan itu disediakan secara bergotong-royong di perkarangan pejabat Jabatan Penyiaran Labuan membabitkan kakitangan RTM, Ahli Kelab KEBAL dan pelajar UMS-KAL manakala proses memasak bubur lambuk itu telah bermula seawal pukul 8.30 pagi di perkarangan masjid berkenaan dan bubur tersebut diagihkan bermula 2.00 petang.
“Antara pengisian lain yang dilaksanakan ialah penyampaian bantuan kit makanan yang disumbangkan oleh UMS-KAL kepada 10 penerima asnaf di kampung berkenaan terdiri daripada warga emas, pesakit terlantar, Orang Kurang Upaya (OKU) dan ibu tunggal,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, bantuan itu bagi mengurangkan beban para penerima seterusnya bersama-sama berkongsi rezeki dan kegembiraan dalam menyambut kemeriahan bulan Ramadan.
“Selain itu, selepas solat Zohor turut disampaikan tazkirah ringkas berkaitan Nuzul al-Quran oleh al-Hafiz Ustaz Ahmad Syafiq Muhammad,” katanya.
Turut hadir Timbalan Pengarah RTM Labuan Fauziah Mohd Sidek, Pengerusi Masjid Jamek Layang-Layangan Basran Jamil dan Pengerusi KEBAL Ahmad Nazri Jamal.
-ZS-