
Laporan/foto: Nurul Jannah Shamsol Anuar
KUALA LUMPUR, 9 Apr (Malaysiaaktif) – Sejumlah enam lokasi di sekitar Bandar Tun Razak menjadi pilihan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Wan Azizah Wan Ismail dalam menganjurkan Program Ihya’ Ramadan 2023.
Program yang berlangsung semalam di Sri Perindu, Taman Desa Cheras dan Pangsapuri Sri Cendana melibatkan lebih 400 penerima sumbangan.
“Sempena bulan suci dan Hari Nuzul Quran, saya menganggap pemberian ini merupakan rezeki yang perlu dikongsi bersama terutama pada mereka yang memerlukan,” ujar Wan Azizah Wan Ismail ketika ditemui di Pangsapuri Sri Cendana.
Menurut beliau, selain dapat membantu meringankan beban, sumbangan ini diharap dapat memberi keceriaan kepada mereka dalam melakukan persiapan Hari Raya Aidilfitri yang menjelang tiba.
Program anjuran pejabat Parlimen Bandar Tun Razak, ini melibatkan lebih 1,200 orang penerima sumbangan Bakul Rahmah dan duit raya untuk setiap ketua keluarga atau wakil yang hadir.
Turut hadir Setiausaha Politik Perdana Menteri Azman Haji Abidin, Pengarah Eksekutif Berjaya Group Berhad Badrul Hisyam Abd Aziz, Wakil Ketua Amanah Bandar Tun Razak Mat Zaini dan wakil wakil persatuan penduduk serta Kelab Rukun Tetangga Pangsapuri Sri Cendana.
-ZS-