
Laporan/foto: Allyshia Low/Sh. Nurrul
KUANTAN, 9 Mei (Malaysiaaktif) – Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyempurnakan pelancaran buku Dewan Negeri Pahang: Memacu Legasi Perlembagaan, di sini semalam.
Buku ini merangkumi pelbagai aspek berkaitan Dewan Negeri Pahang termasuk sejarahnya, kehalusan adat-istiadat dewan, peranannya dalam pengurusan negeri dan kepentingannya dalam landskap politik Malaysia.
La juga merangkumi pengenalan mengenai salasilah keluarga diraja Pahang serta sejarah ringkas negeri Pahang disertai dengan koleksi foto dari awal penubuhan Dewan Negeri Pahang.
Selain itu, buku ini merupakan hasil penerbitan istimewa yang ulung kali diterbitkan bagi negeri Pahang yang memberikan gambaran terperinci tentang sejarah negeri Pahang sebelum dan selepas kemerdekaan Malaysia.
Projek yang telah dimulakan selama setahun ini yang melibatkan penghimpunan maklumat dari pelbagai pihak dan disiapkan secara rasmi pada awal 2023.
Baginda Tuanku diiringi Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Indera Haji Zulkifi Haji Yaacob serta Yang di-Pertua Dewan Negeri Pahang Datuk Seri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin.
-ZS-