Laporan/foto: Zaidi Jamin/Siti Laili (Sabah)
KOTA KINABALU, 10 Mei (Malaysiaaktif) – Jururawat di negeri ini disaran sentiasa meningkatkan kemahiran dan pengetahuan dalam pelbagai bidang untuk mempertingkatkan kualiti perkhidmatan kepada pelanggan.
Menurut Pengarah Hospital Queen Elizabeth (HQE) Dr. William Gotulis, jururawat yang dinamik bukan sekadar berdisiplin dan komitmen menjalankan tugas, sebaliknya sentiasa berusaha meningkatkan pengetahuan tentang perkembangan semasa serta hubung kait dengan dasar dan polisi perubatan.
“Usaha membina keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap perkhidmatan organisasi khususnya profesion kejururawatan bukanlah perkara yang mudah.
“Sehubungan itu, setiap anggota perawatan dan perubatan khususnya kalangan jururawat harus memberi perkhidmatan terbaik melalui pendekatan kerja secara berpasukan, empati situasi semasa, mahir berkomunikasi secara berkesan serta sentiasa responsif terhadap ekspektasi pelanggan,” ujarnya semasa merasmikan Majlis Sambutan Hari Jururawat Sedunia 2023 Peringkat HQE di sini pada Selasa.
Sementara itu, Ketua Penyelia Jururawat HQE Mary Chin, berkata jururawat bukan sahaja perlu mengekalkan kemahiran kemahiran insani meliputi layanan berkualiti, mesra, cekap dan bertimbang rasa malah perlu pengetahuan luas serta cakna terhadap perubahan persekitaran.
“Setiap jururawat harus meningkatkan kemahiran kendiri agar setiap tugasan yang diamanah sentiasa berkualiti dan komprehensif serta mampu memberi perkhidmatan mengikut protokol perubatan semasa,” katanya.
Majlis pelancaran sambutan Hari Jururawat Sedunia Peringkat HQE 2023 bertemakan ‘Jururawat Kita, Masa Depan Kita’ turut diserikan dengan persembahan koir dan persembahan multimedia serta upacara lafaz ikrar di kalangan jururawat dan pegawai-pegawai kanan hospital.
-ZS-