Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahJohor

Penerima Geran Hak Milik Lega Penantian 30 Tahun Berakhir

By 22 Mei 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syed Mohd Adib Syed Hassan (Segamat)

SEGAMAT, 20 Mei (Malaysiaaktif) – Seramai 121 warga Segamat telah menerima geran hak milik bagi Felcra Peta Temalik, Labis yang merupakan ‘hadiah’ daripada kerajaan negeri setelah menunggu selama hampir 30 tahun.

Geran hak milik berkenaan disampaikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz di Dataran Segamat ketika Karnival Maju Johor & Tanah Daerah Segamat 2023 yang dianjurkan oleh Pejabat Tanah Daerah Segamat.

Menurut seorang penerima, Ismail Abu Bakar, 66, beliau melahirkan rasa syukur kerana kerajaan Johor akhirnya menunaikan janji untuk memberi pemilikan hak milik tanah seluas tiga ekar kepada pemohon yang berhak bagi menambah pendapatan.

Seorang lagi penerima, Abdul Halim Khayan, 51, meluahkan rasa gembira bercampur terharu kerana pada 30 tahun yang lepas, beliau hanya mencuba nasib dengan mendaftar nama pada permohonan tersebut tetapi bak kata pepatah, rezeki tidak akan ke mana-mana dan geran hak milik ini juga adalah untuk anak-anak yang dapat menyumbang bagi keperluan masa kini dan masa depan.

Menteri Besar Johor turut mengingatkan ketua kampung seluruh daerah Segamat agar memastikan kerja-kerja pembersihan di setiap kawasan yang rendah serta berpotensi mengalami banjir dijalankan dengan aktif agar sistem saluran tidak tersumbat atau rosak sebelum tiba musim tengkujuh.

Onn Hafiz turut menyampaikan geran hak milik Bukit Bujang 1 kepada seramai 30 penerima, Bukit Bujang 2 seramai 65 penerima, dan Notis 5A kepada Generasi kedua Felda Chemplak seramai 84 penerima.

Turut hadir sama Pegawai Daerah Segamat, Mohd Masni Wakiman, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Datuk Zahari Sarip, Pentadbir Tanah Segamat, Mohd Helmi Datuk Sa’ari dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri.

-ZS-

Tinggalkan komen anda