Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Atlet PIS Menang Lima Pingat Untuk Malaysia

By 22 Mei 2023Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/Mohd Nasir Salman (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 20 Mei (Malaysiaaktfi) – Reputasi Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) terus menyinar dalam arena sukan antarabangsa apabila atlet-atletnya yang mewakili Malaysia telah menggondol lima pingat termasuk satu emas untuk negara pada Sukan Sea 2023 di Phnom Penh, Kemboja.

Pelajar Diploma Rekabentuk Industri, Umar Osman, telah meraih pingat emas menerusi acara Olahraga Lelaki 400m dan pingat gangsa dalam acara Olahraga Lelaki 4x400m selain mencatatkan rekod baharu kebangsaan bagi acara 400m (lelaki-individu) dengan masa 46.34 saat.

“Apabila saya lihat catatan masa tempoh hari, saya agak terkejut tetapi selepas latihan yang saya lakukan selama ini, saya memang yakin untuk pecahkan rekod kebangsaan dan membawa pulang pingat di Sukan SEA,” katanya.

Pada temasya sukan yang berakhir pada 17 Mei lalu, atlet PIS turut menyumbang dua pingat gangsa dan satu pingat perak menerusi pasukan Lumba Bot Tradisional Malaysia bagi acara lelaki dan wanita.

Timbalan Akademik PIS, Ts. Haji Hamdan Samdin, berkata kejayaan berkenaan telah memberikan satu lakaran baharu kepada Politeknik Ibrahim Sultan dan menunjukkan kesinambungan politeknik ini dalam menghasilkan pelajar-pelajar dan pensyarah yang berkebolehan.

“Pencapaian ini juga merupakan satu rezeki kepada Politeknik Ibrahim Sultan sempena sambutan 25 tahun penubuhannya pada tahun ini,” ujar beliau.

-ZS-

Tinggalkan komen anda