
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/Jeffrey Nian
LABUAN, 18 Mei (Malaysiaaktif) – Persediaan rapi selama dua bulan menjadi kunci kejayaan Labuan menjuarai Pertandingan Bahas Guru Piala Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Peringkat Kebangsaan 2023.
Menurut Pengurus Pasukan Labuan, Zaliha Mohd Salleh, persiapan dan latihan intensif termasuk pada sepanjang bulan Ramadan menjadikan setiap ahli pasukan lebih fokus untuk menghadapi pertandingan itu.
“Semangat semua ahli pasukan sentiasa berkobar-kobar dan cekal untuk menghadapi pasukan-pasukan lain bermula pada peringkat saringan lagi tambah-tambah lagi pertandingan kali ini dilaksanakan secara bersemuka berbanding tahun lepas secara maya,” katanya semasa ditemui media, di sini semalam.
Sementara itu, salah seorang pembahas pasukan Labuan, Nadia Mohd Yunus dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan 2, berkata mereka tambah bermotivasi selepas mengatasi beberapa pasukan pilihan di peringkat awal.
“Kami bertambah semangat apabila berjaya mengenepikan cabaran beberapa pasukan pilihan seperti Selangor, Johor, Perak dan Melaka seterusnya berjaya mara ke pertandingan akhir,” kongsinya yang juga dinobatkan sebagai Pembahas Terbaik Pertandingan.
Pada pertandingan akhir, Labuan yang berada di barisan pembangkang menewaskan pasukan Pahang dan membawa pulang piala pusingan, wang tunai RM10,000 dan sijil penyertaan.
Pasukan Bahas Labuan turut dibarisi Hasnan Md Saad dari SK Lubok Temiang, Mohd Asyraf Abd Hamid dari SK Sungai Bedaun, Fakhrullah Akmal Kamal dari SK Patau-Patau dan Sharania Gunasegaran dari Sekolah Menengah Kebangsaan Pantai.
-ZS-