Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Hilang Penglihatan Bukan Halangan untuk Bangkit Berjaya

By 14 Jun 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Rusmiza Anuar/Nik Noor Fatin Fatihah Nik Hasri (Kuala Terengganu)

KUALA TERENGGANU, 14 Jun (Malaysiaaktif) – Kehilangan deria penglihatan ketika menginjak ke usia 13 tahun tidak mematahkan semangat seorang pelajar untuk berjaya dalam pelajaran seterusnya merangkul kejayaan.

“Tiada halangan untuk bangkit berjaya jika terus berusaha,” kata Khairulanwar Zakaria, 19, pelajar cemerlang yang mendapat 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.

Menurutnya, pada mulanya beliau berasa lemah semangat apabila dunia yang berwarna-warni bertukar menjadi gelap akibat masalah pada bahagian korteks otak dan telah disahkan oleh doktor bahawa kedua-dua matanya buta kortikal.

“Saya kemudian ke Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Penglihatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar sebagai murid Orang Kurang Upaya (OKU) Penglihatan dan bertatih mempelajari kod braille selama satu tahun.

“Dengan semangat untuk bersaing dengan sahabat baik yang mengalami masalah rabun kuat, saya mula bangkit dan kami bersama-sama belajar dengan pelbagai kaedah antaranya belajar berkumpulan dan menggunakan kaedah mendengar melalui aplikasi Youtube medan pembelajaran selain mengikuti kelas di sekolah,” ujarnya.

Anak bongsu daripada empat beradik ini bercita-cita menjadi seorang guru dan ingin menyambung pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) Cheras dalam jurusan Pendidikan Khas Pendidikan Islam.

Menurut ibunya, Maznah Mohd, 56, anaknya sentiasa berusaha keras untuk mendapat keputusan yang cemerlang dan dia sentiasa mendoakan kejayaan anaknya.

“Penerimaan masyarakat sekeliling terutama guru-guru dan juga kawan-kawannya sangat baik hingga dia berjaya mendapat keputusan yang amat membanggakan kami sekeluarga,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda