Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Pemangku Raja Pahang Titah Selamatkan Alam Sekitar untuk Generasi akan Datang

By 14 Jun 2023Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Radiah Rahim/Sh. Nurrul (Pahang)

KUANTAN, 14 Jun (Malaysiaaktif) – Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya alam sekitar dipelihara untuk generasi akan datang.

“Kitalah khalifah bumi yang perlu memulakan usaha selamatkan alam sekitar sekarang juga dengan cara mudah seperti jimatkan penggunaan air dan elektrik, kitar semula, kurangkan sampah dan jangan membazir makanan.

“Kegagalan kita bertindak awal bukan hanya memusnahkan alam semula jadi yang kita cintai, malah, kita juga akan merosakkan asas kesejahteraan kita sendiri dan akhirnya mewariskan bumi yang semakin tenat kepada generasi akan datang,” titah baginda sewaktu berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian ECO-Schools Pahang, di sini semalam.

Mengakhiri titah, baginda yakin dan percaya bahawa remaja dan belia di negeri Pahang berpotensi untuk memacu perubahan jangka panjang berbekalkan ilmu dan kemahiran dalam program ECO-Schools ini untuk terus melestarikan alam sekitar, lebih-lebih lagi di bumi Pahang.

Turut berangkat Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana yang juga Penaung Diraja Program ECO-Schools Pahang dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera selain turut dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Program ECO-Schools merupakan program pendidikan untuk pembangunan mampan atau Education For Sustainable Development terbesar di dunia, jaringannya merentas lebih 95 buah negara dengan penglibatan lebih 20 juta murid dan 1 juta guru.

-ZS-

Tinggalkan komen anda