Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Liputan Internet 100 Peratus dan 5G untuk Labuan Menjelang Akhir Tahun Ini

By 11 Jun 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 11 Jun (Malaysiaaktif) – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Pejabat Wilayah Persekutuan menyasarkan Labuan mendapat liputan internet 100 peratus dan liputan talian 5G menjelang akhir 2023.

Menurut Pengarahnya Alyas Roy Amir liputan internet di Labuan sedikit terkebelakang berbanding Kuala Lumpur dan Putrajaya, oleh itu SKMM komited berusaha meningkatkan liputan internet di pulau itu.

“Kita menyasarkan untuk memastikan Labuan mencapai 100 peratus liputan internet menjelang akhir tahun ini.

“Perbincangan bersama pemberi perkhidmatan juga telah diadakan bagi membincangkan strategi membawa rangkaian 5G ke Labuan, beberapa infrastruktur berkaitan juga sedang didirikan dan saya ingin sasarkan hujung tahun ini semua rakyat Labuan boleh menikmati liputan 5G,” katanya semasa merasmikan program Jom Bijak Internet di Kampung Bukit Kuda, semalam.

Mengulas mengenai program tersebut, beliau menyatakan ia merupakan salah satu inisiatif dalam membantu dan membimbing kanak-kanak dan ibubapa serta komuniti berhadapan dengan cabaran jenayah siber pada masa kini.

“Empat objektif utama program itu adalah meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat setempat berkenaan dengan penggunaan media sosial secara bijak dan selamat, memberikan pendedahan kepada masyarakat berkenaan bahaya media sosial yang tidak terkawal, melindungi pengguna Internet daripada risiko dan ancaman dalam talian dan meningkatkan keupayaan komuniti untuk menggunakan dan memahami teknologi digital,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda