Laporan/foto: Farzliana Abdul Ghaffar (Bachok)
BACHOK, 11 Jun (Malaysiaaktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) buat pertama kalinya melancarkan program Jualan Rahmah Mobil iaitu jualan secara bergerak sempena Hari Raya Aidiladha ini.
“Program tersebut akan dilaksanakan mulai 16 hingga 28 Jun ini melibatkan 640 Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara,” kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh ketika merasmikan Majlis Pelancaran Pertama Program Jualan Rahmah Mobil di Malaysia di Tapak Ekspo Pantai Irama, di sini petang semalam.
“Program Jualan Rahmah peringkat Negeri Kelantan yang dilancarkan hari ini akan diadakan di semua 14 Parlimen dan 45 DUN seluruh Negeri Kelantan dengan kekerapan dua kali sebulan dan objektif utama adalah untuk menyediakan barangan keperluan harian kepada masyarakat setempat pada harga yang mampu milik.
“Inisiatif ini memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan barangan keperluan asas harian sehingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran setempat dan sekaligus membantu meringankan kos sara hidup rakyat Malaysia Madani,” katanya.
Menurutnya, melalui kaedah ini, KPDN akan melantik pembekal dan membuat jualan secara mobil di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai kemudahan pasar raya selain jauh untuk mendapatkan barangan keperluan harian dengan harga secara subsidi.
“Pelancaran Aduan Suri Peringkat Negeri Kelantan merupakan penambahbaikan kepada sembilan saluran aduan KPDN sedia ada dengan menambah baik sistem agar lebih mesra pengguna melalui kaedah mengimbas QR Code dan ianya akan terus disalurkan ke aplikasi Whatsapp aduan KPDN.
“Sistem ini selari dengan data aduan 2022, yang merekodkan jumlah pengadu wanita adalah 13,755 orang pada tahun 2022, iaitu hampir 50 peratus daripada jumlah aduan,” katanya.
Pada majlis tersebut Fuziah
turut merasmikan Majlis Pelancaran Program Jualan Rahmah dan Aduan Suri peringkat Negeri Kelantan.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Roziah Abudin, Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail dan Pengarah-Pengarah Negeri KPDN seluruh Malaysia.
-ZS-