
Laporan/foto: Norhasirah Deris (Marang)
MARANG, 20 Jul (Malaysiaaktif) – Ahli jawatankuasa dan penduduk Taman Medan Jaya, di sini diberikan penerangan tentang bahayanya nyamuk Aedes dan penyakit demam denggi oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah Marang bertempat di Surau Taman Medan Jaya, di sini semalam.
“Ceramah khas ini diadakan bertujuan mengingatkan dan mengajar langkah-langkah pencegahan kepada penduduk tentang nyamuk Aedes dan demam denggi berikutan terdapat beberapa kes telah berlaku di kawasan taman ini,” kata Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Kanan Zuraimi Razali.
Katanya, hebahan telah disampaikan oleh pihak Pejabat Penerangan Daerah Marang kepada penduduk di Taman Medan Jaya, Taman Medan Jaya 1 dan beberapa buah taman perumahan bagi mengekang pembiakan nyamuk Aedes.
Zuraimi turut berharap ahli jawatankuasa bertindak sebagai kumpulan penggerak yang menjadi contoh dalam kalangan komuniti setempat dengan mengamalkan aktiviti pencegahan denggi setiap minggu.
“Besar harapan saya supaya seluruh ahli jawatankuasa dan penduduk taman bekerjasama dengan mengadakan aktiviti gotong-royong setiap minggu agar tiada tempat bagi nyamuk Aedes terus membiak,” katanya.
-ZS-