
Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal/MBJB
JOHOR BAHRU, 24 Jul (Malaysiaaktif) – Warga bandar raya Johor Bahru memenuhi perkarangan dataran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), di sini pada Sabtu bagi menonton Perlawanan Piala FA antara Kuala Lumpur City (KL City) dan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Salah seorang penonton Kamarul, 37, dari Bandar Baru Uda, berkata ini kali kedua beliau datang menonton perlawanan bola sepak di dataran kerana sebelum ini hanya sempat menonton di rumah sahaja atas kekangan kesibukan bekerja.
“Kali ini saya datang bersama keluarga untuk meluangkan masa bagi menonton perlawanan ini dan ketika sampai di sini, saya lihat begitu ramai orang yang datang untuk menonton perlawanan Piala FA malam ini yang dipancarkan melalui skrin gergasi,” katanya.
Sementara itu, terdapat pelbagai acara sukan turut diadakan oleh Jabatan Sukan Negeri Johor khusus kepada pengunjung yang hadir dengan penampilan istimewa penyampai radio BestFM, Fad dan Fiza di lokasi.
Pada perlawanan tersebut, Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya menjaringkan dua gol sehingga tamat perlawanan dan telah dinobatkan sebagai Juara Piala FA tahun 2023 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
-ZS-