
Laporan/foto: Irina Abd Samad
KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Malaysiaaktif) – Timbalan Pengarah (Pematuhan Standard) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Allaudeen Abdul Majid dilantik sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu, berkuat kuasa hari ini.
Allaudeen menggantikan Datuk Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bagi mengisi kekosongan Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay sebagai Timbalan Ketua Polis Negara.
Majlis serah terima tugas diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini dengan disaksikan oleh Pengarah Jabatan Integriti Dan Pematuhan Standard PDRM Bukit Aman Datuk Sri Azri Ahmad.
Sementara itu, Azri berharap berbekalkan pengalaman yang ada pada Allaudeen sebelum ini pasti dapat membantu menjalankan tugas yang diberikan dengan cemerlang.
“Peralihan pucuk pimpinan adalah satu prsoses yang amat penting dalam menjaga kesinambungan urus tadbir sesebuah jabatan.
“Saya mengucapkan tahniah kepada Datuk Sri Shuhaily dan yakin sepanjang menerajui tampuk kepimpinan Polis Kuala Lumpur, beliau sentiasa berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik demi keselamatan dan kesejahteraan bandar raya Kuala Lumpur,” katanya.
Turut berlangsung, majlis serah terima tugas jawatan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kuala Lumpur antara Datin Ennie Salina Roseli dengan Datin Dr. Kamariah Omar.
-ZS-