
Laporan/foto: Azrul Azham
JERANTUT, 22 Ogos (Malaysiaaktif) – Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2023 kali ini mensasarkan kluster Pelajar Tahfiz dan Kluster Masjid dan Surau Kebenaran Jumaat menerima sumbangan yang melibatkan seramai 1,031 penerima.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad, BPP merupakan inisiatif Menteri Besar Pahang yang dimulakan sewaktu pandemik COVID-19 melanda dunia sebelum ini.
“Bantuan ini diberikan ke seluruh pelosok negeri Pahang tanpa ada perbezaan fahaman politik tetapi bantuan ini menyasarkan kepentingan rakyat secara menyeluruh,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan BPP 2023 di Majlis Pelancaran dan Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2023 kepada Masjid, Surau Kebenaran Jumaat, Maahad Tahfiz, Pelajar Tahfiz, Mualaf dan Pecah Tanah Pembinaan Baharu Asrama Putera Sekolah Menengah Agama (SMA) Pulau Tawar, di sini semalam.
Pengetua SMA Pulau Tawar Saniah Muhammad, berkata pemberian sumbangan dan pecah tanah pembinaan baharu Asrama Putera amat diperlukan dan sangat bermakna kepada semua pihak.
Pada majlis itu seramai 106 mualaf menerima RM200 seorang, 853 pelajar tahfiz menerima RM100 seorang, setiap 15 Maahad Tahfiz menerima RM2,000 manakala setiap 57 buah masjid mandapat sumbangan RM10,000.
Turut hadir Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Datuk Dr. Haji Zulkifle Haji Ali al-Hafiz, Pegawai Daerah Jerantut Datuk Khairun Nissa Mohd Aris, pegawai-pegawai daerah, ketua-ketua jabatan dan pemimpin masyarakat setempat.
-ZS-