
Laporan/foto: Azrul Azham
JERANTUT, 31 Ogos (Malaysiaaktif) – Perasaan bercampur baur apabila diberi peluang menyanyikan lagu tema Hari Kebangsaan ke-66 yang bertajuk ‘Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’ di Majlis Sambutan Hari Kebangsaan ke-66 Peringkat Daerah Jerantut, hari ini.
Menurut Afina Huda Amir Hamzah, 21, perasaan yang dialami gembira bercampur gemuruh kerana beraksi di hadapan ramai penonton.
“Saya berharap agar generasi muda dapat mengisi masa dengan aktiviti yang sihat dan berfaedah termasuk mendalami seni tarian tradisional yang semakin berkurangan” ujarnya yang berkelulusan Diploma Muzik dari Universiti Teknologi MARA dan juga merupakan bekas pelajar Sekolah Seni Malaysia.
Menurut Timbalan Ketua Polis Jerantut, Deputi Superintendan (DSP) Tuan Azman Mat Kamis sambutan kali ini telah dirasmikan oleh Pegawai Daerah Jerantut dan beliau juga telah menyampaikan amanat Perutusan Kemerdekaan oleh YAB Menteri Besar Pahang, manakala Ibu Pejabat Polis (IPD) Jerantut telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perbarisan dan Perarakan Sambutan Hari Kebangsaan Daerah Jerantut.
“Program hari ini telah berjalan lancar dan dengan jayanya hasil kerjasama erat dan komitmen yang amat tinggi oleh semua pihak.
“Saya juga berharap agar daerah Jerantut kekal dalam keadaan aman dan persekitaran yang kondusif walaupun ada peningkatan yang minima dalam kes-kes jenayah” katanya.
Sambutan Hari Kebangsaan ke-66 Peringkat Daerah Jerantut kali ini buat julung kalinya telah melibatkan perarakan sebanyak 28 buah kenderaan-kenderaan dan aset jabatan di Daerah Jerantut di samping penglibatan sebanyak 21 kontinjen perbarisan agensi kerajaan, badan beruniform dan badan bukan kerajaan.
Kira-kira 1,000 orang penonton telah membanjiri Dataran Parkir Majlis Daerah Jerantut yang menjadi lokasi sambutan kali ini.
-ZS-