
Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/Muhamad Hafizuddin (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Malaysiaaktif) – Lotus’s Stores (Malaysia) Sdn. Bhd. (Lotus’s Malaysia) selaku rakan strategik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) buat kali yang keenam.
KBBM bertujuan meningkatkan kebolehpasaran barangan tempatan di samping meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kualiti barangan buatan tempatan.
Menurut Pengarah Eksekutif Khidmat Korporat syarikat itu Azliza Azmel, pihaknya amat berbesar hati kerana dipilih sebagai rakan strategik peruncitan KPDN dalam inisiatif yang amat bermakna.
“Bagi kami, semangat #KitakanJiran terus menjadi pendorong untuk terus komited menyokong, mentransformasi, menambah baik dan menggalakkan keupayaan dan kapasiti pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan melalui pengelolaan program Perniagaan ke Perniagaan (B2B),” jelasnya.
Katanya lagi, pihaknya sentiasa memberi komitmen dalam menyokong pertumbuhan dan pembangunan negara.
“Lotus’s Malaysia kini mempunyai sebanyak 112 rakan kongsi PKS tempatan yang menawarkan lebih daripada 900 jenis produk di mana sebanyak 90 peratus disahkan halal,” katanya.
Majlis pelancaran kempen tersebut telah disempurnakan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh di Lotus’s Cheras, di sini hari ini.
-ZS-