
Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin/Mohammad Ezwandi (Perak)
LUMUT, 10 Ogos (Malaysiaaktif) – Program Semarak Gemilang Peringkat Negeri Perak 2023 diteruskan dengan mendekati barisan hadapan sektor pelancongan di Pusat Peranginan Pulau Pangkor, di sini semalam.
Menurut Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Perak Mohd Rizal Hashim, hal ini selaras dengan usaha kerajaan negeri mempromosikan pelancaran Tahun Melawat Perak 2024.
“Kerajaan negeri telah menyasarkan kemasukan lapan juta pelancong domestik ke negeri ini tahun hadapan dan salah satu fokus utama adalah dengan pembukaan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) yang bakal meningkatkan lagi jumlah kemasukan pelancong ke daerah Manjung khususnya Pulau Pangkor.
“Justeru, diharap dengan pelaksanaan pelbagai program di Pulau Pangkor termasuk Program Semarak Gemilang, bakal menjadi tarikan kepada pelancong untuk menjadikan pusat peranginan ini sebagai perancangan destinasi utama yang akan dilawati,” katanya ketika berucap sempena program di Hentian Teksi, Jeti Pulau Pangkor.
Hadir merasmikan majlis Pegawai Daerah Manjung Shamsul Ridzuan Idris.
Program anjuran JaPen ini bertujuan menyuburkan semangat Malaysia MADANI menerusi aktiviti patriotisme dan pengukuhan jati diri yang tinggi kepada seluruh lapisan masyarakat selain menyemai budaya kibarkan Jalur Gemilang.
Terdahulu, program sama telah dijalankan di Pos Kuala Mu, Sungai Siput dan Bukit Buluh, Pengkalan Hulu dalam hasrat JaPen untuk mendekati masyarakat Orang Asli serta mengimarahkan semangat Bulan Kebangsaan di kawasan pedalaman.
-ZS-