
Laporan/foto: Azreen Ahmad (Jasin)
JASIN, 10 Ogos (Malaysiaaktif) – Sebanyak 550 batang pokok bunga tunera ditanam bagi menangani serangga perosak sekitar kawasan sawah padi di Kampung Parit Penghulu, di sini baru-baru ini.
Aktiviti di Program Pembangunan Plot Kejuruteraan Ekologi bagi pengurusan perosak tanaman padi itu mendapat sambutan yang amat baik daripada pesawah.
Menurut Pegawai Pertanian Daerah Jasin Nur Hafizah Mohd Zin, prinsip kejuruteraan ekologi merupakan sebahagian daripada komponen Pengurusan Perosak Bersepadu (IPM) iaitu penggunaan agen kawalan biologi yang mesra alam, ia merupakan kaedah penggunaan tanaman berbunga yang kaya dengan nektar sebagai perumah kepada serangga bermanfaat dalam ekosistem padi.
“Penanaman spesies tumbuhan berbunga yang kaya nektar ini berfungsi sebagai tempat berlindung dan membiak spesies sahabat tanaman yang terdiri daripada serangga pemangsa dan parasitoid.
“Amalan ini terbukti dapat mengurangkan kadar serangan serangga perosak seperti bena perang, ulat gulung daun dan ulat pengorek batang. Disamping itu, kadar penggunaan racun kimia menurun dan kelestarian ekosistem sawah terpelihara,” ujarnya.
-ZS-