
Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/Rahimah Rafiai (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Malaysiaaktif) – Royal Selangor melancarkan produk terbaharunya Koleksi ‘Heritage Royal Selangor’ bertemakan warisan Malaysia sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-66.
Koleksi itu merangkumi enam ‘coaster’ (pelapik cawan/gelas) diperbuat logam piuter yang mana masing-masing menampilkan reka bentuk diilhamkan daripada warisan seni budaya rakyat Malaysia.
Menurut Pengarah Urusan Royal Selangor Malaysia Yong Yoon Li, koleksi ‘Heritage Royal Selangor’ ini dilancarkan khas bersempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-66 dan Hari Malaysia ke-60 pada tahun ini.
“Ianya menampilkan enam jenis reka bentuk, iaitu batik, songket, ukiran kayu, wayang kulit, pinakol (Sabah) serta aso (Sarawak) yang mengangkat keindahan dan keunikan warisan Malaysia,” jelas Yong ketika ditemui pada majlis pelancaran di Royal Selangor Visitor Centre, Setapak Jaya, di sini semalam.
Koleksi itu boleh didapati di semua kedai Royal Selangor atau dibeli secara dalam talian di my.royalselangor.com pada harga RM49 setiap satu.
-ZS-