
Laporan/foto: Haliza Mohd Taib
MUAR, 11 Ogos (Malaysiaaktif) – Program Jualan Rahmah (PJR) Bergerak di Perkarangan Kompleks Penghulu Mukim Sungai Balang, di sini semalam mendapat sambutan menggalakkan daripada warga setempat.
Program jualan yang diadakan ketika sambutan kemerdekaan ini turut dihiasi dengan aktiviti seperti Konvoi Ziarah Kasih bagi pesakit terlantar yang melibatkan sebanyak 50 buah motosikal daripada tujuh buah kampung serta memasang bendera di kediaman sekitar Mukim Sungai Balang.
Menurut Ketua Kampung Sungai Gersik Mohd Syahroni Dulah Hussein, program ini merupakan inisiatif yang sangat baik daripada Kerajaan Perpaduan untuk mengurangkan beban rakyat khasnya mereka dalam kategori B40.
“Jutaan terima kasih kepada pihak jabatan kerajaan dan semua yang terlibat menjayakan serta mempromosikan PJR Bergerak ini kepada semua warga Sungai Balang,” ujarnya.
“Saya berharap program seperti ini dapat diadakan secara berkala atau sebulan sekali bagi membantu rakyat mendapatkan harga belian dengan lebih murah.
Antara barangan dijual semasa program ini adalah sayur-sayuran, ikan, telur dan ayam yang ditawarkan pada potongan 15 peratus hingga 30 peratus daripada harga pasaran bagi memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk membeli barangan dan berbelanja dengan harga yang rendah dan kasih sayang.
-ZS-