
Laporan/foto: Nor Haliza Ridzuan/Nazlia Naim (Seberang Perai Tengah)
PENANTI, 30 Ogos (Malaysiaaktif) – Bagi mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan menghadapi bencana banjir, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang telah mengadakan Program Simulasi Bencana Pengurusan Pusat Pemindahan Sementara Peringkat Negeri Pulau Pinang di Dewan Orang Ramai Permatang Pasir, di sini hari ini.
Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah merangkap Pengerusi Bencana Daerah Kamarul Haizal Koderat, berkata program ini adalah salah satu usaha dalam memantapkan kesiapsiagaan semua pihak dalam menghadapi bencana terutama banjir yang kerap berlaku.
“Melalui simulasi ini, tahap kesiapsiagaan agensi yang terlibat dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, khususnya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat diukur dan dinilai dari segi kekuatan petugas dan aset-aset menyelamat.
“Penyelarasan peranan dan tindakan agensi-agensi yang terlibat juga dapat dilaksanakan dari aspek kesiapsagaan, tindakbalas, pemulihan dan penambahbaikan pengurusan di pusat pemindahan sementara,” katanya.
Seramai 350 orang peserta terlibat dalam sesi ini termasuk penduduk daripada Kampung Pelet, Kubang Semang dan penduduk kampung sekitar.
Menurut Kamarul lagi, beliau berharap semua pihak sentiasa berada dalam tahap kesiapsiagaan yang tinggi dalam menghadapi bencana khususnya banjir dan menyeru agar semua pihak dapat memberikan komitmen sepenuhnya dalam pengurusan bencana.
“Pada 10 Ogos 2022 yang lalu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah meluluskan sebanyak RM6.5 juta bagi pembinaan Depoh Bencana Negeri Pulau Pinang bertempat di Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2025.
“Dengan adanya Depoh ini sedikit sebanyak dapat mengatasi masalah kelewatan barang atau stok keperluan bencana untuk sampai ke PPS sekiranya berlaku bencana khusunya banjir besar,” katanya.
Program tersebut turut melibatkan agensi di bawah Jawatankuasa Bencana Daerah iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah (PDTSPT), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Penerangan, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Sukarelawan JKM.
Turut hadir Pengarah JKM Pulau Pinang Zakaria Taib, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Thanabalan Maniam, Pegawai Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah Dr. Noraishah Jaafar dan Pegawai Pertahanan Awam Daerah Seberang Perai Tengah Kapt. (PA) Mohd. Fadhil Fahmi Zaini.
-ZS-