
Laporan/foto: Mohd Faizal Mansor/Krisha Selladurai
PONTIAN 31 Ogos (Malaysiaaktif) – Pejabat Daerah dan Tanah Pontian bersama agensi dan jabatan kerajaan daerah Pontian telah mengadakan Majlis Perarakan dan Perhimpunan Hari Kebangsaan Tahun 2023 peringkat Daerah Pontian di Dataran Majlis Perbandaran Pontian dan Stadium Mini Pontian, pagi tadi.
Majlis dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor Mohd Hairi Mad Shah diserikan dengan gimik perasmian pelepasan rama-rama yang menarik perhatian orang ramai.
“Keharmonian di negara ini khususnya di Negeri Johor wajar dipertahankan bagi mengekalkan perpaduan antara pelbagai kaum. Kemerdekaan negara yang telah mencapai 66 tahun ini perlu dipertahankan demi kesejahteraan rakyat dan menjadikan negara ini terus memperkukuhkan ekonomi ke arah negara lebih maju,” kata Hairi yang merupakan wakil rasmi Menteri Besar Johor.
Turut hadir Ahli Parlimen Tanjung Piai Datuk Wee Jeck Seng, Pegawai Daerah Pontian Zainal Eran, pemimpin tempatan dan ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan daerah Pontian.
-ZS-