
Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Berry Taimin/Abdul Kalam Mukim (Sabah)
KOTA KINABALU, 15 Ogos (Malaysiaaktif) – Sigar atau tengkolok unik yang berwarna-warni merupakan warisan tradisi Sabah yang dihasilkan daripada tenunan dastar.
Kain dastar merupakan hasil warisan suku kaum Iranun di daerah Kota Belud.
Menurut Pegawai Pemasaran Syarikat khazanah Enterprise, Abdul Kalam Mukim, 37, untuk menghasilkan sigar memerlukan minat, kemahiran dan ketelitian.
“Ini kerana sigar perlu melalui proses menenun terlebih dahulu yang dilakukan secara buatan tangan.
“Maka tidak hairanlah hasil tenunan dastar ini mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan,” jelasnya ketika ditemui di gerainya pada program Menyemarakkan Seni Budaya, Orang Kita Budaya Kita, di sini pada Ahad.
“Biasanya kita memerlukan lapan hari untuk menyiapkan sebuah sigar yang lengkap,” katanya.
Sementara itu, Abdul Kalam berkongsi tentang perusahaan sigar ini yang dimiliki ibunya, Sirongan Sulaiman yang mahir menenun.
“Sigar buatan tangan ini turut mendapat tempahan dari penduduk asal Sabah yang bermastautin di Australia,” katanya.
Program Menyemarakkan Seni Budaya, Orang Kita Budaya Kita adalah anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara bermula 12 hingga 13 Ogos lalu.
-ZS-