
Laporan/foto: Juhaisa Azrin/Nur Bazilah
LIPIS, 15 Ogos (Malaysiaaktif) – Keenakan jagung hasil tanaman yang diusahakan oleh penduduk di Kampung Binjai, Kuala Lipis, di sini sememangnya menjadi buah mulut serta buruan penduduk setempat mahupun pengunjung dari luar daerah.
Sejak bertahun lamanya penduduk di kampung ini mengusahakan tanaman jagung biarpun pernah diduga dengan musibah banjir dan mengakibatkan hampir keseluruhan tanaman jagung rosak.
Namun, dugaan yang dihadapi sedikit pun tidak mengurangkan semangat untuk terus bertani dan berbudi pada tanah.
Menurut Hashimah Othman, 60, beliau sudah berbelas tahun menanam jagung dan merupakan mata pencarian utamanya.
“Syukur dengan hasil jualan jagung, saya mampu menyara keluarga. Bagi mendapatkan hasil tanaman jagung yang berkualiti, penjagaan yang rapi amatlah diperlukan khususnya dari segi benih, baja dan juga bekalan air.
“Selain itu, khidmat nasihat daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Pertubuhan Peladang Kawasan Lipis (PPK) serta Pejabat Pertanian Daerah turut membantu para pengusaha dalam meningkatkan hasil tanaman mereka,” katanya.
Tambahnya, tanaman jagung ini memerlukan masa selama dua bulan sebelum dipetik dan dijual kepada pembeli.
-ZS-