
Laporan/foto: Amat Satem Timun (Kuala Langat)
BANTING, 29 Sep (Malaysiaaktif) – Prinsip ‘jangan sia-siakan usia muda’ yang dipegang seorang anak muda telah mengetepikan rasa malu dengan menjalankan perniagaan cendol santan sawit di tapak Pasar Malam Taman Banting Baru, di sini.
Muhammad Afiq Irfan Zakaria, 21, menyambung perniagaan cendol santan sawit daripada ibu bapanya sejak tiga tahun lalu.
“Ayah dan ibu memulakan perniagaan cendol santan sawit yang diberi nama ‘Cendol mZack Santan Sawit’ sejak tahun 2010.
“Saya mengambil alih perniagaan ini kira-kira tiga tahun lepas selepas tamat tingkatan lima,” katanya yang mesra dipanggil Afiq.
Katanya, dalam sehari beliau mampu menjual sebanyak 150 cawan kecil yang berharga RM3 dan 80 cawan besar yang berharga RM6.
“Waktu operasi dibuka pada pukul 5 petang hingga 9 malam pada hari Rabu, manakala hari lain dibuka pada pukul 12 tengahari hingga 6.30 petang.
“Ketika ini saya mempunyai sebuah cawangan di Sijangkang yang diuruskan secara francais,” jelas beliau kelmarin.
Menurutnya, ketika perniagaan tersebut diuruskan ayah dan ibunya, gerai cendol santan sawit ini pernah terlibat dalam program masakan yang disiarkan di RTM1 pada tahun 2012.
Sementara itu seorang pelanggan, Salhah Hassan, 52, berkata setiap minggu beliau akan membeli cendol santan sawit Afiq kerana rasanya sedap.
“Memandangkan cendol ini menggunakan santan sawit sebagai ramuan utamanya, rasanya memang sedap jika dibandinglan dengan cendol lain.
“Setiap minggu saya akan ke Pasar Malam Taman Banting Baru untuk membeli cendol santan sawit daripada Afiq,” katanya yang tinggal di Taman Cempaka.
-ZS-