
Laporan/foto: Noor Hidayah Mohd Izam
BATU PAHAT, 29 Sep (Malaysiaaktif) – Lebih 3,000 orang hadir mengimarahkan Masjid Sultan Ismail Batu Pahat bersempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Batu Pahat Tahun 2023, di sini semalam.
Acara dimulakan dengan perarakan selawat atas nabi yang disertai oleh 63 kontinjen perarakan terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institut pengajian tinggi (IPTA) dan sekolah.
Menurut Kadi Daerah Batu Pahat Mohd Nasri Rahman, umat Islam perlu saling bantu-membantu dan sayang-menyayangi tanpa mengira bangsa atas dasar saling menjaga saudara sesama Islam sepertimana tema sambutan pada tahun ini iaitu ‘Perpaduan Teras Maju Johor’.
Penghulu Mukim Lubok/Bagan Azri Tresno, berkata beliau datang ke masjid sejak awal pagi untuk mengetuai perarakan bagi kontinjen Mukim Lubok/Bagan.
“Saya berasa bersyukur di atas kejayaan kontinjen saya yang memenangi tempat ketiga perarakan bagi kategori mukim,” katanya.
Beriani kambing di dalam dulang turut dihidangkan pada program ini sebagai salah satu tradisi mengikat kasih sayang antara sesama Islam dengan berkongsi makanan di dalam dulang yang sama.
Terdapat juga pertandingan busana terbaik, pertandingan sepanduk terbaik dan pertandingan perarakan terbaik keseluruhan.
Turut hadir Pegawai Daerah Batu Pahat Nasri Md. Ali, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Daerah Batu Pahat, Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan Daerah Batu Pahat serta Pemimpin-Pemimpin Masyarakat Daerah Batu Pahat.
-ZS-