
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)
LABUAN, 9 Sep (Malaysiaaktif) – Sambutan Hari Malaysia yang bakal disambut 16 September ini merupakan lambang penyatuan rakyat berbilang kaum di negara ini.
Menurut Pengerusi Perbadanan Labuan Tan Sri Anifah Aman semua pihak perlu melihat Sambutan Hari Malaysia sebagai lambang penyatuan rakyat yang terus melangkah ke hadapan berpandukan enam teras Malaysia MADANI iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan.
“Jadilah warga Malaysia yang hidup dengan bertunjangkan sikap saling menghormati, meraikan kepelbagaian dan menjadi medan dialog peradaban.
“Jadikan Kerangka Malaysia MADANI sebagai pemacu kewujudan masyarakat maju dan bertamadun berdasarkan ilmu pengetahuan, tradisi, khazanah dan kearifan tempatan,” jelasnya semasa merasmikan Program Semarak Gemilang di Balai Raya Kampung Pantai pagi tadi.
Jelasnya lagi, masyarakat juga boleh menzahirkan rasa syukur dan bangga dengan penubuhan Malaysia dengan terus mengibarkan Jalur Gemilang di mana sahaja tempat yang bersesuaian pada sepanjang masa walaupun bukan di dalam Bulan Kebangsaan.
“Kita perlu membudayakan amalan mengibarkan Jalur Gemilang sebagai salah satu instrumen yang mampu mencerminkan tanda kasih sayang dan penghormatan sebagai generasi masa kini terhadap pengorbanan generasi terdahulu demi mencapai sebuah kemerdekaan,” katanya.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek.
Antara aktiviti program tersebut adalah Senam Seni Madani, pertandingan pakaian beragam patriotik, pameran agensi kerajaan, pemeriksaan kesihatan KOSPEN, sukaneka dan cabutan tiket bertuah.
-ZS-